Tanda Awal Burnout dan Cara Mengatasinya Sebelum Terlambat

Sekarang ni, ramai sebenarnya tengah alami burnout, tapi tak ramai yang sedar ! Rasa penat tak habis-habis, tak ada mood nak buat apa-apa, cepat marah, semua benda rasa serabut.

Bunyi macam biasa, tapi itu sebenarnya antara tanda awal burnout yang ramai anggap “ala, biasa je kot”.

Tak kira lelaki atau perempuan, dua-dua boleh kena. Lagi-lagi dengan gaya hidup dan tekanan kerja zaman sekarang, sibuk tak tentu masa, kerja tak habis-habis, otak pun tak pernah ‘OFF’. Kita kejar macam-macam sampai lupa nak jaga diri sendiri.

Kalau korang rasa makin hari makin letih, susah nak fokus, atau dah mula hilang minat dengan benda yang dulu korang suka mungkin itu petanda awal yang tak patut dipandang ringan.

Nak tahu lebih lanjut pasal tanda-tanda burnout dan macam mana nak elakkan sebelum jadi makin teruk? Jom teruskan baca !

Keletihan Melampau

Penat tu biasa. Tapi kalau setiap hari bangun tidur pun masih rasa lesu, tak ada tenaga, malas nak buat apa-apa, itu bukan penat biasa. Itu mungkin keletihan melampau, salah satu tanda paling awal burnout.

Badan rasa berat, otak rasa kabur, dan nak fokus buat kerja pun jadi susah. Walaupun dah tidur cukup, rehat pun dah, tapi tetap rasa macam tak cukup. Nak mula kerja pun ambil masa lama, dan bila buat kerja sikit je pun dah rasa macam dah habis tenaga satu hari.

Ini berlaku sebab badan dan minda dah terlalu ‘overload’. Kita paksa diri untuk terus bergerak walaupun sebenarnya kita perlukan rehat yang sebenar, bukan sekadar tidur, tapi juga rehat emosi dan mental.

Kalau rasa penat tu makin hari makin kuat dan tak hilang-hilang, jangan abaikan. Ia bukan sekadar fizikal, ia tanda yang sistem dalaman kita sedang minta tolong.

Rasa Sinis atau Tidak Peduli

Pernah tak sampai satu tahap, korang rasa macam… “Apa gunanya aku buat semua ni?” Atau bila orang tanya pasal kerja atau tanggungjawab, korang jawab sambil lewa, bukan sebab malas, tapi sebab rasa dah tak peduli.

Itu bukan sekadar hilang minat, itu petanda awal burnout yang ramai tak perasan.

Rasa sinis ni boleh muncul bila kita dah terlalu lama berada dalam tekanan, sampai emosi jadi ‘kebas’. Kita dah tak rasa teruja dengan kerja yang dulu kita suka, dan kadang-kadang mula menyalahkan orang sekeliling atau suasana kerja.

Kita jadi mudah annoyed, malas nak engage dengan team, dan mula fikir negatif tentang semua benda, “Bos ni tak faham aku”, “Tak guna aku usaha lebih, orang lain tak hargai pun”, atau “Biarlah, lantaklah”.

Bila rasa sinis dan tak peduli ni muncul, ia bukan bermaksud kita orang yang lemah atau pemalas. Tapi itu mungkin tanda yang kita dah terlalu lama bertahan, dan sekarang tubuh serta emosi kita mula menolak.

Kurang Produktiviti dan Motivasi

Kalau dulu kita semangat bangun pagi, terus siapkan kerja, sekarang nak buka laptop pun rasa berat.

Tugas yang biasa kita boleh siap dalam sejam, sekarang ambil masa berjam-jam. Asyik bertangguh, tak fokus, tak tahu nak mula dari mana.

Itu semua bukan sebab kita malas. Tapi mungkin sebab motivasi dan tenaga mental kita dah ‘kering’.

Bila burnout mula menyerang, kita akan rasa kosong. Buat kerja sekadar cukup syarat, otak rasa ‘blank’, dan semua benda terasa membebankan. Tak kira kerja besar atau kecil, semua pun jadi susah nak gerakkan.

Lagi perit bila kita mula rasa bersalah sebab tak produktif. Sedangkan dalam masa yang sama, kita sendiri pun tak faham kenapa kita jadi macam tu.

Situasi ni sangat biasa dalam fasa awal burnout. Kita bukan tak mampu, tapi minda dan emosi kita perlukan ruang untuk ‘reset’. Bila tenaga dalaman dah habis, kita perlukan lebih daripada sekadar motivasi, kita perlukan rehat yang sebenar.

Masalah Tidur

Salah satu tanda burnout yang ramai tak sangka – masalah tidur. Kita ingat bila badan penat, tidur jadi lebih lena. Tapi realitinya, bila burnout mula menyerang, tidur pun boleh jadi kacau.

Ada orang susah nak lelap walaupun badan dah letih gila. Ada juga yang kerap terjaga tengah malam, fikiran ligat fikir hal kerja, masalah hidup, benda yang belum selesai. Bangun pagi rasa lebih penat dari malam sebelumnya.

Lagi pelik bila kita boleh tertidur waktu siang, waktu kerja, waktu drive, atau tengah buat sesuatu tapi waktu malam, otak tak boleh berhenti ‘berfikir’. Itu tanda yang sistem dalam badan kita dah hilang keseimbangan.

Masalah tidur ni bukan saja buat kita letih, tapi ia juga boleh kacau emosi dan fokus sepanjang hari. Kita jadi cepat marah, mudah cemas, dan susah nak buat keputusan.

Kalau korang perasan tidur dah tak nyenyak macam dulu, atau selalu terjaga tanpa sebab, jangan anggap ia normal. Mungkin itu ‘jeritan halus’ dari badan yang dah terlalu lama menanggung tekanan.

Masalah Emosi dan Fizikal

Burnout bukan sekadar rasa penat, ia boleh ‘makan dalam’ sampai kita mula rasa tak stabil dari segi emosi dan fizikal.

Dari segi emosi, kita jadi lebih mudah terasa, cepat marah, atau tiba-tiba rasa sedih tanpa sebab.

Ada masa kita rasa kosong, macam hilang arah, dan malas nak bergaul dengan orang. Ada juga yang rasa diri tak cukup bagus, mula bandingkan diri dengan orang lain, dan rasa macam semua benda tak kena.

Dari segi fizikal pula, badan mula bagi “signal”, sakit kepala yang kerap, lenguh tengkuk dan bahu, perut rasa tak selesa, selera makan berubah (kadang langsung tak lapar, kadang pula nak makan je). Badan kita sebenarnya tengah ‘berteriak’ minta kita berhenti dan beri perhatian.

Masalah-masalah ni bukan datang tiba-tiba. Ia terkumpul sikit demi sikit bila tekanan tak dilepaskan, emosi tak diluahkan, dan diri sendiri tak dijaga.

Kalau korang perasan perubahan pada emosi atau badan yang makin kerap berlaku, jangan abaikan. Itu tanda serius yang kita perlukan rehat, ruang, dan mungkin juga sokongan.

Siapa yang Berisiko Tinggi?

Sebenarnya, sesiapa pun boleh mengalami burnout – tapi ada golongan yang lebih berisiko tinggi.

Antaranya ialah pekerja profesional yang sering dibebani dengan tanggungjawab berat dan tekanan kerja yang tak pernah surut. 

Usahawan dan freelancer juga tak terkecuali, terutama bila mereka bekerja tanpa waktu kerja tetap, dan selalu rasa perlu “on” setiap masa. 

Ibu bapa, terutamanya yang bekerja sambil menguruskan anak dan rumahtangga, juga sangat mudah terdedah kepada burnout kerana keletihan fizikal dan emosi yang berganda.

Tak lupa juga para pelajar, yang sering berada di bawah tekanan akademik dan dalam masa yang sama cuba seimbangkan kehidupan sosial, keluarga dan cita-cita.

Semua golongan ini cenderung untuk abaikan rehat, pendam tekanan, dan letakkan keperluan diri di tempat terakhir, itulah yang buat burnout boleh berlaku tanpa disedari.

Langkah Pencegahan & Apa Patut Dilakukan

  • 1. Kenali Had Diri – Jangan paksa diri untuk buat semua benda sekaligus. Kita ada had, fizikal dan mental. Belajar untuk kata “tidak” bila perlu, dan tetapkan sempadan antara kerja dan masa peribadi supaya tak mudah terbeban.

  • 2. Rehat Secara Berkala – Jangan tunggu sampai badan rebah baru nak rehat. Ambil masa untuk berhenti sekejap walaupun 10 minit. Rehat sekejap tapi berkualiti boleh bantu kita kekal fokus dan elakkan tekanan yang terkumpul.

  • 3. Luahkan Perasaan – Jangan simpan semua rasa sendiri. Bercerita dengan kawan, pasangan, atau sesiapa yang kita percaya boleh bantu ringankan beban emosi. Kalau rasa terlalu berat, tak salah langsung untuk jumpa kaunselor atau pakar.

  • 4. Buat Aktiviti yang Menenangkan – Cuba luangkan masa untuk buat benda yang menenangkan jiwa contohnya meditasi, senaman ringan, tulis jurnal, atau buat hobi yang kita suka. Aktiviti macam ni bantu stabilkan emosi dan jernihkan fikiran.

  • 5. Semak Semula Gaya HidupTidur cukup, jaga pemakanan dan kekalkan gaya hidup aktif. Benda-benda asas ni sangat penting untuk jaga kesihatan mental kita. Bila badan sihat, emosi pun lebih stabil dan kita lebih kuat hadapi tekanan harian.

Burnout bukan sesuatu yang berlaku dalam sehari, ia terkumpul perlahan-lahan tanpa kita sedar.

Sebab tu penting untuk kita kenal tanda-tanda awal dan ambil tindakan sebelum terlambat.

Kalau anda rasa artikel ni bermanfaat, kongsikan dengan orang tersayang. Mungkin mereka pun sedang alami benda yang sama, cuma tak tahu nak mula dari mana.

Untuk lebih banyak info, tips dan fakta menarik tentang kesihatan mental, gaya hidup seimbang dan kesejahteraan diri, jangan lupa ikuti blog kami. 

Sama-sama kita belajar untuk jaga diri, dari luar dan dalam.

BACA : 5 Cara Atasi Overthinking Bila Tinggal Seorang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *