Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124

Di Malaysia, 34.1% wanita didiagnosis dengan kanser payudara, menjadikannya kanser paling kerap berlaku berbanding jenis kanser lain di negara ini. Kanser payudara juga merupakan salah satu kanser paling umum di kalangan wanita di seluruh dunia.
Walaupun tidak semua faktor risiko dapat dielakkan, mengamalkan gaya hidup sihat dapat membantu mengurangkan risiko. Berikut adalah beberapa tips untuk mengurangkan risiko kanser payudara, tanpa mengira usia dan jantina.

Berat badan berlebihan, terutama selepas menopaus, boleh meningkatkan risiko kanser payudara.
Dengan mengekalkan berat badan yang sihat melalui diet seimbang dan aktiviti fizikal sangat penting untuk mengurangkan risiko. Lemak berlebihan menghasilkan hormon estrogen secara berlebihan, yang telah dikaitkan dengan pertumbuhan sel kanser payudara.

Senaman adalah salah satu cara terbaik untuk memastikan tubuh kekal sihat.
Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal dapat mengurangkan risiko dengan membantu mengawal berat badan dan menurunkan paras estrogen.
Amalkan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti sederhana seperti berjalan laju, atau 75 minit aktiviti intensiti tinggi seperti berjoging setiap minggu.

Pemakanan yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, dan protein tanpa lemak dapat membantu melindungi anda daripada pelbagai penyakit, termasuk kanser payudara.
Elakkan makanan tinggi lemak tepu, makanan diproses, dan gula berlebihan yang boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan serta meningkatkan risiko kanser.

Dengan menyusukan bayi bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan si kecil, tetapi juga kepada kesihatan ibu. Menyusukan bayi untuk tempoh yang lebih lama dapat mengurangkan risiko kanser, mungkin disebabkan oleh penurunan paras estrogen semasa penyusuan.

Pengesanan awal adalah kunci untuk mengurangkan kematian akibat kanser payudara. Lakukan pemeriksaan sendiri setiap bulan untuk mengenal pasti sebarang perubahan, dan jalani mamogram secara berkala seperti yang disarankan oleh doktor anda, terutama jika anda mempunyai faktor risiko yang lebih tinggi.
Walaupun tiada cara untuk menghapuskan risiko sepenuhnya, mengamalkan gaya hidup sihat dapat membantu mengurangkan risiko dan meningkatkan kualiti hidup.
Mulakan dengan perubahan kecil seperti memperbaiki corak pemakanan, meningkatkan aktiviti fizikal, dan menjalani pemeriksaan saringan secara berkala. Ingat, pencegahan adalah langkah terbaik untuk menjaga kesihatan.